DEMOKRASI : ISLAM TIDAK JUMUD DALAM BERTINDAK



Kelahiran golongan yang mengambil nas secara zahir, tanpa melihat kepada kaedah pengambilan hukum yang manhajnya telah disusun oleh ulama-ulama mujtahid dikalangan salaf soleh terdahulu telah menyebabkan kebingungan dikalangan pencinta-pecinta ilmu tentang pengamalan sistem demokrasi pada hari ini.

Ulama-ulama mujtahidin terdahulu telah mengulas dan menulis kitab-kitab cara-cara pengambilan hukum. Semuanya adalah bertujuan untuk memudahkan generasi terkemudian mengistinbatkan hukum berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Tapi apa yang pelik, dikebelakangan ini, lahir puak-puak yang mendakwa pengikut setia Al-Quran dan As-Sunnah, tapi cara penghujahan mereka hanya sekadar mengikut pemahaman akal dan nafsu mereka, tanpa merujuk kepada kaedah pengistinbatan hukum yang betul, disamping mereka melalaikan “waqi” yang merupakan asas bagi menyesuaikan sesuatu keadaan kepada hukum.

Kaedah fiqh menyatakan;

إثبات الحكم بالعلة فرع لاثبات الحكم بالنص

Maksudnya;
“Mengisbatkan hukum dengan ‘illat adalah satu furu’ bagi mengisbatkan hukum dengan nas” (Usul As-Sarkhasi : 2/265)

Begitujuga, Imam Al-Amudi ada menyatakan dalam kitabnya “Al-Ahkam”;

أما الوصف الجامع فهو فرع في الحكم لكونه مستنبطا من محل حكم المنصوص

Maksudnya;
“Adapun sifat yang merangkumi, ia merupakan furu’ pada hukum, ianya untuk menistinbatkan hukum daripada tempat hukum yang dinaskan” (Al-Ahkam li Al-Amudi : 3/193)

Dua kaedah ini menggambarkan, sebelum hendak menyatakan sesuatu perkara itu halal atau haram, maka hendaklah dipastikan bentuk benda yang hendak dijatuhkan hukum.

Menentukan hukum sesuatu itu bukanlah tertakluk kepada namanya semata-mata, bahkan hendaklah dirujuk kepada benda yang dinamakan (المسمى). Dengan sikap yang terlalu gelojoh menjatuhkan hukum, mengakibatkan natijah hukum bersifat “zalim” dan berat sebelah.

Inilah keadaan yang berlaku kepada mereka yang mendakwa pengikut Al-Quran dan As-Sunnah yang mudah menyatakan sesuatu itu haram disebabkan pengamalan itu tidak pernah berlaku pada zaman nabi SAW, sedangkan disana terdapat hadis-hadis yang merupakan kaedah-kaedah umum, ianya adalah alat untuk penyesuaian nas kepada sesuatu perkara yang hendak dihukumkan.

ASAL SESUATU ADALAH HARUS

Imam Al-Amudi menyatakan;

الاصل في الافعال كلها إنما هو الاباحة، ورفع الحرج عن الفعل، والترك، إلا ما دل الدليل على تغييره

Maksudnya;
“Asal pada semua perbuatan adalah harus dan terangkat kesusahan daripada perbuatan yang kena buat atau di tinggalkan melainkan ada dalil yang menyatakan atas perubahannya”(Al-Ahkam Lil Al-Amudi : 1/178)

Begitujuga, Imam As-Syatibi menyatakan dalam kitab “Al-Muwafaqat Fi Usul As-Syariah”;

وأصل العادات الالتفات إلى المعاني

Maksudnya;
“Asal perkara adat adalah dikembalikan kepada Maknanya” (2/513)

Dr Yusuf Al-Qaradhawi pula menyatakan dalam kitabnya “Al-Halal wa Al-Haram Fi Al-Islam”;

أن الأصل فيما خلق الله من أشياء و منافع هو الحل و الإباحة , ولا حرام إلا ما ورد نص صحيح صريح من الشارع بتحريمه

Maksudnya;
“Sesungguhnya asal pada perkara yang Allah ciptakan dari sesuatu perkara atau perkara yang memberi manfaat adalah halal dan harus, tidak haram melainkan wujud nas sahih, sarih daripada Syari’ dalam mengharamkannya”(m.s 20)

Dari kaedah fiqh ini, difahami bahawa, semua perkara yang adalah harus, melainkan wujudnya unsure-unsur yang membawa kepada haram.

Oleh yang demikian, pengamalan sistem demokrasi dalam pemilihan pemerintah, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu bentuk pengamalannya disamping diperhatikan unsure-unsur yang bercanggah dengan nas yang memungkinkan ia sebagai haram atau tidak.

DEMOKRASI

Telah dinyatakan dalam tulisan yang lalu, penggunaan sistem demokrasi yang diamalkan oleh parti islam di Negara ini, bukanlah untuk dijadikan sebagai suatu aqidah, tetapi ianya adalah suatu alat bagi menghadapi musuh-musuh islam.

Jika diperhatikan, demokrasi banyak mempunyai kesamaan dengan ajaran islam. pun begitu, tidak dinafikan, terdapat di sana beberapa perkara yang melibatkan dengan demokrasi, tetapi bercanggah dengan pengamalan islam.

TITIK PERTEMUAN ANTARA DEMOKRASI DAN ISLAM

Seperti diketahui, rasul-rasul dan nabi-nabi diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan risalah Islam. dengan keadaan itu, dapat dilihat, kebanyakan mereka menghadapi golongan yang memerintah di zaman mereka.

Nabi Noh merupakan antara Rasul pertama yang berjuang menghadapi golongan yang dinamakan Al-Mala’ (pemimpin-pemimpin) dikalangan kaumnya. Nabi Ibrahim menghadapi Raja Namrud yang memerintah kerajaan Babilon, kuasa besar di zamannya. Nabi Musa menghadapi Firaun yang juga memerintah kuasa besar yang kejam di ketika itu.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada nabi SAW menghadapi pemerintah Makkah dan kuasa besar Farsi dan Rom di zamannya yang melakukan berbagai-bagai kesesatan dan kezaliman.

Maka dengan itu, dilihat perjuangan nabi-nabi terdahulu banyak menghadapi golongan pemerintah yang tidak menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran mereka.

Dalam keadaan itupun, nabi Muhammad SAW menghadapi golongan yang memerintah sehingga Baginda terpaksa berhijrah meninggalkan Makkah disebabkan tekanan yang terlalu hebat yang dilakuakn oleh golongan kuffar yang dikepalai kepimpinan Negara makkah ketika itu.

Dengan penghijrahan nabi SAW, baginda berjaya membina pengaruhnya tersendiri. Dengan pengaruh itu, baginda berjaya membina sebuah pemerintahan Islam yang berasaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama Negara.

Dalam menghadapi pemerintahan ketika itu, Baginda tidak membuang semua cara perlantikan yang diamalkan oleh mereka terdahulu, tetapi baginda SAW mengedit sebilangan cara pengamalan dalam perlantikan pemimpin.

Cara itu disambung oleh khalifah-khalifah islam selepas Baginda. Ini dapat dibuktikan dengan perlantikan Abu Bakar melalui kaedah Baiaah. Perlantikan Omar dengan menggunakan kaedah Istikhlaf (iaitu perlantikan yang ditentukan oleh Abu bakar). Perlantikan Osman bin Affan melalaui kaedah pemilihan (iaitu perlantikan melalui cadangan nama yang diberi oleh Omar untuk dipilih oleh sebilangan sahabat-sahabat besar berdasarkan kepada kelayakan. Antara nama-nama yang dicadangkan adalah, Osman, Ali, Zubair, Talhah, saad dan Abdul Rahman bin Auf). (Al-Imamah Al-Uzma : 144-154)

Setelah Saidina Osman bin Affan di bunuh, berlaku sedikit pertelingkahan dalam perlantikan Ali sebagai Khalifah. Pertelingkahan itu berlaku disebabkan sikap ahli Syam ketika itu yang tidak mahu membaiaah Saidina Ali sebagai Khalifah. Pun begitu, setelah didesak, Saidina Ali telah dijumpai sebilangan sahabat menyatakan kelayakan beliau. Disebabkan desakan hebat dari sebilangan sahabat menyebabkan Ali telah naik atas masjid dan menyatakan;

فمن شاء يبايعني بايعني

Maksudnya;
“Barangsiapa yang mahu membaiaahku, maka baiaahlahku”

Melihat keadaan demikian, semua manusia telah membaiaah Saidina Ali sebagai Khalifah islam selepas dari Kesyahidan Saidina Osman bin Affan. (Al-Imamah Al-Uzma : m.s 155)

Melihat kepada kaedah perlantikan ini, dapat dilihat, perlantikan pemerintahan yang diamalkan dizaman salaf bukanlah menggunakan satu cara sahaja, bahkan mereka menggunakan banyak cara yang lain yang kadangkala asal cara perlantikan itu diambil dari mereka yang terdahulu, tetapi telah di edit agar tidak bercanggah dengan ajaran syariah, dan diguna pakai dalam islam.

Maka sebab itulah, tidak hairan Allah menyuruh mengadakan dialog antara Islam dengan Ahli Kitab. Tujuannya adalah untuk mencari dimanakah titik persamaan antara ahli kitab dan Islam, kemudian Islam mengenepikan perkara yang bercanggah dengan syariat dan menerima perkara yang tidak bercanggah dengan syariah.

Firman Allah;

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
“Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah."

(Surah Al-Imran : 64)

Dalam keadaan itulah, bagi memenangkan Islam dan berusaha kearah kedaulatan Islam dalam Negara yang telah mengamalkan sistem demokrasi, hendaklah diadakan “pertemuan” bagi mencari titik pertemuan dan kesamaan antara Islam dan demokrasi. Dari situ, hendaklah dilakukan tilikan terhadap kesamaan antara pengamalan sistem demokrasi yang tidak bercanggah dengan islam yang kemudian dijadikannya sebagai cara untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada masyarakat.

HAK BERSUARA

Antara contoh kesamaan antara Demokrasi dan islam adalah, dalam sistem demokrasi, rakyat diberi hak untuk menyatakan hasrat hati mereka. keadaan ini mempunyai kesamaan dengan islam yang memberi hak kepada sesiapa sahaja untuk menyatakan hak mereka.

Daripada Abu Hurairah R.A, Sabda nabi SAW;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
“Maka sesungguhnya bagi orang yang ada hak itu bersuara” (Al-Bukhari : 2226)

Begitujuga berlaku kepada Saidina Omar yang ditegur oleh seorang perempuan dalam satu pertemuan bersama rakyat. Pertemuan yang berpunca dari cadangan Omar yang mencadangkan kepada perempuan supaya memurahkan mas kahwin. Cadangan omar itu telah dibangkang oleh seorang perempuan dengan dibacakan firman Allah;

وآتيتم إحداهن قنطارا

Maksudnya;
“kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak”

(Surah An-Nisa’ : 20)

Mendengar kritikan dari perempuan tersebut, Omar menyatakan;

امرأة أصابت ورجل أخطأ

Maksudnya;
“Perempuan telah betul, dan lelaki telah silap” (Ibnu Kathir : 2/244 : hadis ini, Albani menyatakan bahwa sanadnya lemah. Pun begitu, Abu Ya’la mengatakan sanad hadis ini baik dan kuat)

MENYERANG DIKTATOR

Menyerang diktator juga merupakan antara unsur kesamaan antara Islam dengan demokrasi. Dalam demokrasi, rakyat diberi hak untuk menyatakan kehendak diri mereka. maka sebab itu, demokrasi memberi hak bersuara kepada rakyat disamping mereka boleh menyatakan ketidak puas hati mereka.

Jika diperhatikan kepada kelahiran demokrasi, ianya melalui kebangkitan rakyat kerana akibat mengalami tekanan pemerintah. fahaman ini lahir daripada rasa kemanusiaan mengikut fitrah, cumanya yang membezakannya, fahaman ini tidak dipandu oleh wahyu ilahi.

Keadaan ini hakikatnya terdapat unsur kesamaan dengan islam yang amat menentang kezaliman yang dilakukan oleh sesiapa sahaja. Banyak firman-firman Allah dan hadis-hadis nabi yang mengherdik terhadap mereka yang melakukan penindasan dan kezaliman.

Firman Allah;

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya;
“Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya”

(Surah Al-Anfal : 25)

Ayat ini, secara jelas Allah nyatakan bahawa, siksaan itu pasti akan dikenakan kepada mereka yang melakukan kezaliman, yang ianya membawa maksud, amalan zalim itu merupakan sesuatu yang ditentang oleh Allah.

Begitujuga Firman Allah;

وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Maksudnya;
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim"

(Surah Al-Baqarah : 124)

Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadis dari Ibnu Omar yang berkata;

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَعَانَ عَلَى خُصُومَةٍ بِظُلْمٍ أَوْ يُعِينُ عَلَى ظُلْمٍ لَمْ يَزَلْ فِي سَخَطِ اللَّهِ حَتَّى يَنْزِعَ

Maksudnya;
“Bersabda Rasulullah SAW, barangsiapa yang membantu atas permusuhan dengan kezaliman atau membantu atas kezaliman, maka sentiasalah ia berada dalam kemurkaan Allah sehingga dia bertaubat” (Sunan Ibni Majah : 2311: hadis ini dilihat hasan oleh Albani dalam kitab “salsalah sahihah”)

Melihat kepada hadis ini, orang yang membantu orang melakukan kezaliman pun sudah dikira sebagai dosa sehingga mendapat kemurkaan Allah, maka terlebih murkalah Allah terhadap orang yang melakukan kezaliman.

Apa yang nyata, Baginda SAW menyatakan bahawa, perkara yang lebih berbahaya dari kezaliman adalah berdiam diri terhadap kezaliman, iaitu tidak bertindak untuk memberhentikan kezaliman. Juga lebih berbahaya dari kezaliman adalah cenderung kepada kezaliman.

Sabda Nabi SAW;

إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Manusia, apabila mereka melihat akan orang yang melakukan kezaliman, lalu dia tidak memegang dua tangannya, dibimbangi Allah akan menurunkan azab secara menyeluruh”(Sunan Abi Daud : 3775)

Diktator merupakan antara kezaliman yang dilakukan oleh manusia terhadap manusia yang lain. kezaliman ini ditentang oleh Islam berdasarkan kepada firman Allah dari surah Al-Baqarah, ayat 124 dan hadis yang dinyatakan di atas.

GALAKAN BERMESYUARAT

Mesyuarat merupakan antara unsure utama dalam Islam. dalam menghadapi sesuatu keadaan, kadangkala dengan tidak mendengar pandangan dari pihak yang lain, atau sekadar diharapkan kepada pandangan sendiri sahaja, akan melahirkan satu keputusan yang negetif disambing natijah disebalik keputusan itu melahirkan kerosakan.

Keadaan itulah menyebabkan Islam telah meletakan beberapa kaedah dalam mendapat keputusan yang baik, iaitu dengan kemukakan kaedah permesyuaratan.

Firman Allah;

وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ

Maksudnya;
“sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka”

(Surah As-Syura : 38)

Firman Allah lagi;

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya;
“dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu]. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”

(Surah Al-Imran : 159)

Dari kaedah permesyuaratan ini juga mempunyai kesamaan dengan demokrasi. Dalam demokrasi, pilihanraya merupakan jalan untuk rakyat mengemukakan wakil-wakil mereka untuk menghadiri mesyuarat Negara, samada di peringkat DUN atau Parlimen.

Yang dengan ini, wakil-wakil rakyat itu dapat memberikan pandangan mereka kepada dewan rakyat di peringkat negeri atau parlimen di peringkat Negara bagi menggubal atau mewujudkan beberapa peruntukan undang-undang di peringkat masing-masing.

MENGHORMATI PENDAPAT MAJORITI

Dalam konsep sistem demokrasi, pandangan majority merupakan pandangan yang wajib di hormati. Maka dengan sebab itulah, pandangan majority mengikut demokrasi merupakan pandangan yang wajib di taati.

Ianya seakan-akan ada kesamaan dengan Islam yang memberi penghormatan yang tinggi kepada pandangan majority.

Sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ

Maksudnya;
“Maka sesungguhnya Syaitan bersama dengan orang yang bersendiri dan dia (syaitan) berjauhan dari dua orang”(Sunan At-Tirmizi : 2091)

PERCANGGAHAN DEMOKRASI DENGAN ISLAM YANG DIEDIT

Tidak dinafikan, dalam demokrasi terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai syirik kepada Allah dan bercanggah dengan Islam. pun begitu, tindakan mengedit demokrasi itu agar tidak terdapat lagi unsure syirik disamping menjauhkan unsure-unsur yang bercanggah dengan Islam merupakan tindakan yang bijak, terutama dalam keadaan untuk berusaha hendak mendaulatkan Islam.

Antara perkara tersebut adalah, demokrasi mengikut cara dokongan pembawa bendera mereka adalah golongan yang tidak menjadikan syariat sebagai neraca dalam menentukan sesuatu keputusan, bahkan mereka lebih mementingkan keputusan ramai.

Bagi menghadapi keadaan ini, golongan Islam yang menjadikan Islam sebagai sandaran perlu dimenangkan dalam pilihanraya, agar wakil-wakil rakyat Islam ini dapat menguasai kerusi-kerusi dalam dewan rakyat atau dewan perlimen. Dengan ramainya wakil-wakil Islam ini, akan lahirlah keputusan majority yang menyebelahi kepada perlaksanaan undang-undang islam dan keadilan islam. maka dengan itu, demokrasi sudah berjaya di edit dan “diperalatkan” untuk mencapai keuntungan Islam.

Demokrasi juga mengajar tentang kebebasan secara mutlak. Ianya disandarkan kepada kehendak majority tanpa disandarkan kepada syarak. Maka dengan itu, kadangkala dengan keadaan itu, apabila majority menghendaki suasana maksiat dalam Negara, maka hendaklah diraikan kehendak ramai, maka dilaksanakan kehendak majority itu.

Dalam hal ini, golongan Islam perlu menyertai demokrasi dalam membataskan kebebasan secara mutlak itu kepada kebebesan yang mengikut syarak. Cara menghadapinya adalah dengan memajoritikan golongan parti islam dalam dewan rakyat dan dewan parlimen, agar suara mereka yang menyeru kepada Islam lebih bergema berbanding suara-suara mereka yang redha dengan kemungkaran.

PENUTUP

Dalam pengajian ilmu Usul fiqh, di awal perbincangannya akan ketemu perbincangan tentang pembahagian hukum kepada Taklifi dan Wadii.

Menghadiri kenduri kahwin yang dijemput merupakan sesuatu yang wajib. Tetapi, jika di majlis kenduri tersebut terdapat unsure-unsur maksiat, maka menghadiri majlis tersebut sudah bertukar kepada haram.

Dari ini difahami, kewajipan menghadirkan diri dalam kenduri kahwin itu merupakan hukum taklifi. Tetapi, dalam keadaan tertentu, hukum taklifi bertukar kepada haram disebabkan ada unsure-unsur maksiat itu. Pertukaran hukum wajib kepada haram dinamakan sebagai hukum wadii.

Sememangnya tidak dinafikan, demokrasi merupakan satu sistem pemilihan dan pemerintahan yang tidak diasaskan kepada Islam. pun begitu, disebabkan ketiadaan pengamalan ini di zaman Nabi, sahabat dan golongan salaf terdahulu, tidak bermakna pengamalannya adalah haram.

Melebelkan golongan harakah islamiyyah yang mengambil sistem demokrasi sebagai jalan untuk merebut kekuasaan politik sesebuah Negara secara secara mutlaq merupakan sesuatu tindakan gelojoh yang diharamkan oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

التأني من الله و العجلة من الشيطان


Maksudnya;
“Berlambatan adalah dari Allah, dan bergopoh/gelojoh adalah dari Syaitan” (salsilah sahihah Albani : 1795)

Ekoran dari itu, sebelum menyatakan pengamalan demokrasi yang dilakukan oleh golongan harakah islamiyyah, perlu diperhatikan terlebih dahulu terhadap pengamalan yang hendak dilakukan disamping mengedit demokrasi itu. Ianya bertujuan agar tidak bercanggah dengan islam.

Ekoran dari itu, walaupun secara hukum taklifinya, demokrasi merupakan pengamalan sistem yang haram, tetapi setelah di edit, secara wadiinya, ianya sudah tidak lagi dikira sebagai haram. Bahkan, disamping itu, setelah pengeditan itu, Islam tidak pernah menghalang dari menggunakan kebijaksanaan untuk memberi manfaat kepada Islam.

Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang berbunyi;

أن الأصل فيما خلق الله من أشياء و منافع هو الحل و الإباحة

Maksudnya;
“Sesungguhnya asal pada perkara yang Allah ciptakan dari sesuatu atau perkara yang memberi manfaat, ianya adalah halal dan harus” (Al-Halal wa Al-haram Fi Al-Islam : m.s 20)

Begitujuga, hadis Rasulullah SAW yang berbunyi;

الحكمة ضالة المؤمن ، حيثما وجد المؤمن ضالته فليجمعها إليه

Maksudnya;
“Kebijaksanaan adalah barang keciciran orang beriman, dimana sahaja orang mukmin dapatinya, maka pungutilah ia” (Musnaf As-Syihab Al-Qada’ii” : 135)

Maka dengan itu, tindakan sebilangan pihak yang mudah menyatakan bahawa pengamalan demokrasi sebagai haram secara mutlak merupakan tindakan jumud yang hakikatnya bersandar kepada kehendak nafsu dan akal mereka yang tidak di asaskan kepada pemahaman kehendak Islam yang bersifat “murunah”.

Mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dari Allah SWT…..

Wallahu ‘Alam

abuislam




TEKNIK MEMBACA DENGAN BERKESAN



assalamu'alaikum wbt.

YA ALLAH,.terima kasih kerana masih mengurniakan nikmat pancaindera yang sempurna untuk hambaMU. dengan anggota yang sempurna ini, hambaMU manfaatkan untuk membaca lalu berkongsi dengan para pengunjung blog ini akan ilmuMU yang sangat luas.

mengenang akan adik - adik di kampung, adik - adik usrah, atau pun sahabat - sahabiah yang mencari kaedah membaca berkesan, mendesak jiwa ini untuk membaca dan mencari buku yang berkaitan dengannya. kepada mereka yang mudah mendapatkan bahan bacaan tidak menjadi masalah, apatah lagi kepada mereka yang mempunyai wang yang lebih.

kepada adik - adik hambaMU..kepada semua yang suka membaca, di sini dikongsikan sedikit
panduan ringkas tentang teknik membaca yang berkesan. antaranya ialah :

sediakan semua peralatan yang akan digunakan untuk aktiviti membaca. di antaranya kertas kosong, pen, pensil, pemadam, pembaris dan sebagainya.

sediakan dengan secukupnya bahan yang akan dibaca seperti buku, majalah, nota kelas dan sebagainya.

pilih tempat yang sesuai untuk melakukan proses membaca. tempat itu hendaklah kurang gangguan dan kebisingan, tidak terlalu panas dan selesa untuk belajar.

untuk melancarkan proses belajar, anda perlu menetapkan tajuk tertentu yang hendak dibaca.

tetapkan jumlah muka surat dan jangkamasa diperlukan untuk menyelesaikan aktiviti membaca bahan itu.

duduklah dengan cara yang betul. anda boleh memberi tumpuan yang baik dan dapat membaca dengan lebih lama dan berkesan. anda digalakkan duduk di atas kerusi yang berkeadaan tegak dan lurus.

tumpukan perhatian dan fikiran anda terhadap bahan yang akan dibaca. mula dengan doa, supaya fikiran anda tenang dan mudah memahami apa yang akan dibaca.

gunakan pensil atau jari anda sebagai penunjuk ketika anda membaca. dengan menggunakan penunjuk akan dapat mengawal pergerakan mata dan kadar kelajuan membaca. penunjuk juga boleh menolong menumpukan perhatian kepada bahan yang sedang dibaca dan meningkatkan kadar kelajuan membaca. justeru itu, anda dapat meningkatkan kefahaman semasa membaca.

semasa membaca, anda perlu memberi perhatian yang khusus terhadap jadual, rajah dan data - data kerana bahan - bahan ini sangat penting dalam meningkatkan kefahaman anda.

semasa membaca, jangan lupa membuat catatan - catatan yang penting.









KUASA FOKUS




Antara masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan pelajar ialah kesukaran untuk fokus semasa berada di kelas mahupun dewan kuliah. Bagaimana nak fokus dengan baik dan dalam tempoh yang lama?


Teknik – teknik yang baik telah banyak dibincangkan oleh pakar motivasi dan individu yang faqih dalam bidang ini. Justeru itu, saya tidak ingin membincangkannya di sini, insya’ALLAH pada artikel seterusnya. Apa yang ingin saya tekankan pada perkongsian ilmu kali ini adalah
“ KUASA FOKUS “.



Pernah tak saudara semua cuba membakar sekeping kertas dengan menggunakan cahaya matahari yang difokuskan kepada satu titik pada kertas tersebut melalui kaca atau dalam istilah bahasa inggerisnya ‘ magnifying glass ’ ? Ya, fenomena tersebut menjelaskan lagi tentang kuasa fokus dalam artikel ini yang bukan sahaja mampu membakar tetapi turut merubah keadaan fizikal kertas tersebut.

Bayangkanlah jika kita memiliki KUASA FOKUS ?
IA MAMPU MERUBAH KEHIDUPAN YANG BIASA KEPADA LUAR BIASA !!! INSYA'ALLAH.



Apabila PERHATIAN dan USAHA diarahkan pada SATU MATLAMAT, kita boleh membayangkan betapa hebatnya hasil itu nanti. Dan juga sekiranya semua kuasa minda kita difokuskan, pasti kita akan kebal dan sukar dikalahkan.

Ramai tokoh hebat yang membicarakan tentang kuasa fokus yang mereka jana dalam diri. Mereka bukan sahaja memberikan sumbangan besar kepada masyarakat malahan mencipta sejarah tersendiri apabila dilabel sebagai manusia unik yang memahami hala tuju kehidupan, melihat dengan mata hati matlamat mereka yang satu, disulami pula dengan semangat yang berkobar – kobar semata - mata untuk memenuhi syarat mencapai gol hidup.


Nabi Muhammad s.a.w adalah tokoh agung yang memiliki kuasa fokus yang tinggi dan ada lagi kelompok manusia yang mencontohi keperibadian rasulullah s.a.w ini. Baginda mampu mengubah corak dunia dan membersihkan kejahilan yang menyeliputi kehidupan manusia. Dan tentu sekali ini semua dengan KUASA ALLAH S.W.T.

Berbalik kepada masalah fokus yang menjadi masalah penuntut ilmu sekalian, mungkin suatu peringatan yang baik bahawa antara penguat kuasa fokus ini adalah melakukan perkara yang sangat kita cintai. Pakar psikologi terkenal, Sigmund Freud ada berkongsi resipinya dalam menggapai kebahagiaan ini yakni “ WORK AND LOVE”. Perlu kita amati bahawa dalam konsentrasi juga terlibat unsur – unsur meditasi, visual, pemikiran positif, kreativiti dan banyak lagi. Kebanyakan hal dalam hidup ini memerlukan suatu bentuk konsentrasi. Fokus yang cemerlang mampu menyumbang kepada pencapaian yang hebat dan kebahagiaan, insya’ALLAH.

Walaubagaimanapun, fokus juga tidak dapat berdiri sendiri.
KESUNGGUHAN DAN KESABARAN perlu seiring dengan fokus.
Pesanan untuk tugasan @ ‘assignment’ seterusnya, bolehlah diberikan sepenuh perhatian, elakkan gangguan untuk mencapai matlamat yang diimpikan. ANDA AKAN TERKEJUT DENGAN HASIL YANG DIPEROLEHI.!!.
FOKUSKAN DIRI KITA SEMASA BELAJAR
AIM FOR THE HIGH, YET BE PREPARE FOR THE WORSE.




BAHAYA SEKULAR DAN MENJADI KAFIR KEPADA PENGANUTNYA

Sekular atau dalam bahasa arabnya dipanggil "al-'Ilmaniyyah" diambil dari perkataan ilmu (dalam bahasa arab = 'ain, lam dan mim). Kononnya dari segi mafhum, ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, jadi ia tidak bercanggah dengan mafhum Islam yang juga menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi manusia dan menyeru kepada ilmu sejak wahyu pertama lagi TETAPI sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada "al-'Ilmaniyyah" hanyalah satu tipu daya dan berselindung di sebalik slogan ilmu.

Sebenarnya kalau diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah "al-Ladiniyyah" yakni tanpa agama atau "al-La'aqidah" yakni tanpa akidah. Tokoh pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang sekularisme.

Istilah "al-'Ilmaniyyah" dipilih untuk mengabui mata umat Islam agar menerimanya kerana jika digunakan istilah "al-Ladiniyyah" atau "al-La'aqidah", sudah pasti umat Islam akan menolaknya.

Sebab itulah kita merasakan betapa jahatnya penterjemahan sekular kepada istilah "al-'Ilmaniyyah" dengan tujuan mengabui mata dan betapa jahatnya golongan ini yang ingin menutup perbuatan mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang. Bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu menerima dan bermati-matian mendokongnya kerana mereka memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman sekularisme.

Namun bagi ulama-ulama Islam yang faham hakikat sebenar makna Islam, mereka bermati-matian pula menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan dengan hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu pertembungan antara pendokong sekularisme dan ulama-ulama Islam dalam mempertahankan "hakikat" masing-masing.

(SEKULARISME ANTARA TIMUR DAN BARAT)

Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat di barat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.

Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti "memisahkan agama (kristian) dari negara".

Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil penyelewengan yang berlaku dalamnya (-ia berpunca dari perancangan yahudi-) memungkinkan tertegaknya fahaman sekularisme di samping agama kristian yang sedia ada. Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan gereja.

Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan agama.

Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran.

Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau gereja.

Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur, golongan ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan pemisahan agama (Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa yang terjadi dalam kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap penganutnya.

Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan agama (Islam) dari negara kerana negara mengikut fiqh Islam ialah sebahagian dari agama bukannya satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara (yang boleh menguatkuasakan undang-undang agama) dan tidak mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau) jika tidak ada agama (yang boleh memandunya).

Al-Syahid Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah Rasa'il" menegaskan bahawa Islam merupakan sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya. Ia merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi, keadilan, undang-undang, ilmu, jihad, dakwah, tentera dan lain-lain.

Pendek kata tidak ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum untuk umat Islam dalam memandu kehidupan mereka.

Sebagai contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran ayat 19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang sosial (lihat surah Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba' ayat 15), bidang undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga bidang-bidang yang lain.

Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman sekularisme di sampingnya dengan membahagikan tugas antara keduanya iaitu, Islam hanya berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Islam merupakan satu agama yang terkandung di dalamnya akidah dan syariat sekaligus dan ia tidak membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam bidang akidah. Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhainya hanyalah Islam yang suci.

FirmanNya yang bermaksud,

"Sesungguhnya al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam",
surah Al-Imran ayat 19.

Jadi untuk menyamakan Islam dengan agama kristian dan percubaan memasukkan fahaman sekular ke dalam Islam adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta manusia iaitu Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela. Kristian pada asalnya agama tauhid tetapi telah diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan mereka.

Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari fahaman kufur ini dan tidak ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat Islam yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak perlu beramal dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.

Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi.

Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 85, maksudnya :

"adakah kamu percaya (beriman) kepada sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya?

Sebaliknya Allah memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud,

"wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam keseluruhannya".

(CARA-CARA PENYEBARAN SEKULARISME)

Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara. Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya.
Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakanan melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)

Antaranya ialah :

1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral.

i. Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada pengajian sekularisme.

ii. Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam "ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup", maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama.

Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu "bukan Islam", seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.

2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di samping itu, akan tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.

3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya. Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk melemahkan pelajar-pelajar Islam.

4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang kesannya ialah menghina bahasa arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan bahasa asing. Penghinaan bahasa arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara arab.

5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :

i. Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.

ii. Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa "keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama "berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA)

Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.

Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar" banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)

Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari "kuasa" pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir "pengsekularan" undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang Perancis secara khususnya.

Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kawin (ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.

Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.

Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata : "sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil". Maka umat islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w

Disediakan
Abuislam.




Blog Widget by LinkWithin